facebook KLIK PANGKAH UNTUK TUTUP Button Close
loading...

Hukum Wanita Memakai Wangi-Wangian

al-quran, alam, alhamdulilah, alim, allah, doa, dosa, ego, fitnah, ibubapa, islam, kasih, kebaikan, makan, nabi, pahala, puji, sabar, salam, sayang, solat, soleh, sombong, sunnah, taubat, tawakal, usaha
Menyukai kecantikan dan wangian adalah fitrah. Kerana Allah juga indah dan menggalakkan hamba-Nya berhias dengan pakaian yang cantik untuk mengerjakan ibadah. Hal ini bersesuaian dengan maksud surah Al-A’raaf, ayat yang ke-31:
“Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.”
Galakan untuk berhias ini bukan sahaja untuk kaum lelaki, bahkan juga untuk kaum wanita. Akan tetapi, perhiasan kaum wanita hanya terhad kepada golongan tertentu. Mereka tidak boleh berhias dan mempamerkan perhiasan mereka pada khalayak ramai seperti firman Allah dalam surah An-Nuur, ayat 31 yang bermaksud :
“…….. dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan;.”
Terdapat beberapa hukum tentang wanita memakai minyak wangi iaitu harus, sunat, makruh dan haram.
Harus
Secara umumnya hukum memakai minyak wangi adalah harus bagi wanita. Seseorang wanita itu dikatakan harus memakai wangi-wangian ketika suami berada di rumah terutamanya ketika ingin melayan suami mereka. Selain daripada itu, wanita tidak di haruskan memakai wangi-wangian. Nabi s.a.w telah bersabda yang bermaksud,
“Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa menyenangkan hati kamu…” (Riwayat an-Nasa’i dari Abu Hurairah)
Ini bererti seorang wanita itu haruslah sentiasa kelihatan menarik dari segi akhlak dan penampilannya agar dapat menyenangkan hati suaminya, termasuklah memakai minyak wangi untuk menyenangkan suami.
Sunat
Sunat bagi wanita berwangian ketika berada di rumahnya, ketika ingin menunaikan solat dan beribadah di dalam rumahnya, dan juga ketika menyambut tetamu wanita. Terdapat hadis yang menjelaskan wanita juga digalakkan berwangi-wangian tetapi bukan pada tempat yang telah dilarang. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud,
“Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang (jelas) warna dan tersembunyi baunya” (Riwayat al-Tarmizi)
Wanita juga disunatkan memakai wangian sebelum melakukan ihram. Aisyah r.a berkata,
“Kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah s.a.w. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah s..aw melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya nabi s.a.w tidak melarang)” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Makruh
Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum disepakati oleh ulama dan terdapat penjelasan dalam bab puasa. Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan “makruh memakai wangi-wangian ketika berpuasa”. Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah pendapat ijmak.
Haram
Haram bagi wanita memakai minyak wangi atau alat-alat solek yang berbau wangi di luar rumah berdasarkan hadis berikut,
“Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum (orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina” (Abu Dawud, Tirmidzi)
Nabi s.a.w bersabda “Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut).” (Sahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)
Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu beliau menegur “Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa Allah s.w.t tidak akan menerima solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan mandi……” (Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)
Abu Musa meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Setiap mata itu berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita yang asing). Dan seorang wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melalui sesuatu majlis, maka ia adalah demikian, demikian…(penzina)” (Riwayat Tirmidzi)
Daripada hadis-hadis di atas, maka jelaslah bahawa kaum wanita diharamkan memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumah dan juga dilarang berhias berlebih-lebihan kecuali di rumah terutamanya di hadapan suaminya.
Saya menyeru kepada semua wanita muslimah agar mentaati perintah dan larangan Allah dalam setiap detik kehidupan kita, dalam setiap langkah kita. Jauhilah larangan Allah taala dalam hal persolekan dan berwangi-wangian dikhalayak ramai. Patuhilah hadis-hadis di atas dan jadikan ia sebagai panduan hidup kita.
Sungguh amat memilukan hati, apabila melihat wanita muslimah keluar rumah bekerja dengan gaya seperti seorang perempuan kafir, bersolek dan berbau wangi samada dengan tujuan menggoda lelaki yang ditemui atau untuk kelihatan cantik atau tanpa apa-apa tujuan sekalipun, ia tetap haram dan berdosa. Sedarlah, bahawa itu mengundang murka Allah SWT, yang mengakibatkan rezeki yang kita peroleh sehari-hari tidak diredhai Allah, bukan itu sahaja bahkan ia bakal menjadi penyebab bagi keruntuhan iman dan akhlak kita. Hilanglah segala hikmah dari pekerjaan kita yang sepatutnya menjadi ibadah kita kepada Allah.
Saya juga ingin mengingatkan wanita muslimah agar berhati-hati memilih alat solek supaya tidak tersalah memilih yang berbau wangi, kerana ada setengah-setengah bedak atau deodorant misalnya berbau wangi.
Semoga wanita muslimah hari ini akan menjadi sebaik sahabiah disisi Nabi s.a.w, yang apabila mendengar sesuatu hukum itu haram mereka terus menjauhi perbuatan tersebut dan apabila mendengar sesuatu hukum itu wajib atau sunat mereka terus melaksanakannya dengan penuh iltizam.
Wallahu ‘alam bissawab . Wassalam.

Ust.Shahidah Sheikh Ahmad
loading...
Hukum Wanita Memakai Wangi-Wangian Hukum Wanita Memakai Wangi-Wangian Reviewed by azaril on 9:27 am Rating: 5
Powered by Blogger.